Vokalis kumpulan EYE, Izam menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kumpulan itu sudah lama berpecah.

Izam atau nama sebenarnya Mohd Izam Mohd Arshad, 50, berkata, mereka tidak pernah berpecah sebaliknya masih sibuk mengadakan persembahan bersama anggota kumpulan yang asal.

"Alhamdulillah, sejak ditubuhkan kumpulan asal EYE masih ada sehingga sekarang dan aktif melakukan persembahan.

"Namun kebanyakan persembahan dilakukan kurang mendapat pulbisiti sehingga orang menganggap kumpulan kami sudah tiada.

"EYE tidak pernah berpecah malah kami masih lagi kekal dengan lima ahli asal.

"Baru-baru ini kami berjaya memperolehi tiga juta tontonan apabila rakaman video aksi EYE menghiburkan peminat di Kuantan dimuat naik di media sosial.

"Ini bermakna peminat masih merindui kami walaupun kebanyakkan anggota sudah berusia," katanya kepada Astro Gempak.

Izam berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Havoc Raya yang diadakan di Sireh Pinang Hall, Cheras Sentral Mall, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram