Pengacara rancangan MeleTOP, Nabil Ahmad bakal menunaikan ibadah Umrah pada 10 malam terakhir Ramadan tahun ini.

Bakal berlepas pada 7 hingga 14 Jun, Nabil belum bersedia untuk membawa dua orang anaknya perempuannya.

"Insya-Allah, saya bakal ke Tanah Suci bersama isteri. Ini merupakan pengalaman kali kelima saya menunaikan Umrah di 10 malam terakhir Ramadan.

"Namun begitu, saya belum bersedia untuk membawa dua orang puteri saya kerana mereka masih kecil.

"Saya memang ada hajat untuk bawa anak-anak tetapi apabila mengenangkan suasana di sana yang sibuk lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan menuju Syawal, saya simpan dahulu niat saya," kata Nabil.

Tambah Nabil, dia melunaskan segala kerja yang patut diselesaikan sebelum berlepas ke Tanah Suci Mekah.

"Semuanya saya sudah aturkan kerana sudah terbiasa ke sana pada penghujung Ramadan. Rakaman program Hari Raya semua akan saya selesaikan sebelum terbang ke sana.

"Persiapan untuk menyambut Syawal anak-anak pun akan disediakan oleh isteri. Saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan," katanya ketika ditemui di majlis santai Jakel Barulah Raya baru-baru ini.

Nabil meneruskan tugasnya sebagai wajah kempen Jakel Barulah Raya dengan produk Baju Melayu Slim Fit.

Selain Nabil, selebriti lain yang turut menjadi wajah kempen ini ialah Ayda Jebat, Datuk Aaron Aziz, Hanis Zalikha, Hairul Azreen, Yusuf Iskandar, Harith Iskander, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Lara Alana dan Upin Ipin.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @jakeltextile