Transparency International Malaysia menyarankan agar Perdana Menteri dan anggota Kabinet serta Ketua-Ketua Institusi mengisytiharkan harta terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menentukan ketelusan dan akauntibiliti.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata, proses pengisytiharan harta adalah lebih baik dilakukan merangkumi pasangan masing-masing dan ahli keluarga terdekat.

"Ketua Pesuruhjaya SPRM pula hendaklah mengisytiharkan harta kepada Parlimen. Ini adalah perlu sebagai langkah pertama, sebelum PM dan Anggota Kabinet serta Ketua-Ketua Institusi mengisytiharkan harta secara terbuka melalui online," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyatakan ketika ini anggota kabinet hanya mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri manakala Ketua di kementerian dan jabatan termasuk Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan anggota tertinggi di dalam Perkhidmatan Awam mengisytiharkan harta mereka kepada Ketua Setiausaha Negara.

"Pengisytiharan harta kepada SPRM hendaklah dilakukan sebelum dan selepas memegang sesuatu jawatan dengan analisis nilai bersih dilakukan secara berkala, mungkin ia dilakukan setahun sekali," katanya.

Jelasnya, SPRM mempunyai pakar perakaunan forensik dan penyiasat yang boleh meneliti, memeriksa aset yang diisytiharkan serta mengambil tindakan selanjutnya kepada mereka yang gagal mematuhinya.

"Pengisytiharan harta ini juga bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan. Amalan seperti ini juga boleh mengelakkan tuduhan palsu dan meningkatkan kepercayaan orang ramai," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Sahabat SPRM - Facebook