Nasib penyanyi mahupun syarikat rakaman tempatan kini lebih terbela menerusi kewujudan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA).

Presidennya, Ayob Abd Majid berkata, trend ketika ini banyak syarikat rakaman secara bebas dan penyanyi yang menghasilkan single untuk dipasarkan menerusi platform digital.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila lagu atau single tersebut tidak dimainkan di stesen radio.

"Isu utama kewujudan IRAMA adalah membantu penyanyi yang menjadi ahli kami untuk memasarkan lagu mereka ke pasaran. Kebanyakan lagu baru sukar dimainkan di stesen radio apatah lagi kos rakaman mencecah sehingga RM20,000 termasuk promosi," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, IRAMA ditubuhkan daripada perbincangan masalah antara artis yang dikongsi menerusi mesej WhatsApp.

"Kita mewujudkan konsortium dan bukannya persatuan kerana lebih mudah untuk mencari dana. Di dalam IRAMA, kami mempunyai ahli jawatankuasa yang berpengalaman seperti komposer, penulis lirik dan pegawai perhubungan awam (PRO) yang boleh membantu ahli," katanya.

Sebagai ahli berpeluang menggunakan khidmat seperti PRO yang disediakan IRAMA dengan kos lebih murah antara RM1,000 sehingga RM2,000 kerana adanya bantuan dana yang diperolehi.

"IRAMA juga akan berusaha meminta kerajaan untuk mendapatkan dana yang digunakan untuk acara persembahan yang diadakan. Peluang ini juga diberikan sama rata kepada ahli," katanya.

Ayob menambah, IRAMA berperancangan mahu menjadi satu pusat sehenti (one stop centre) untuk ahli mendapatkan kemudahan yang lebih baik dengan kos yang lebih murah.

"Sebagai contoh, kos promosi sebanyak RM7,000 untuk satu album tapi ahli hanya membayar RM1,500," katanya.

Tambahnya, IRAMA beroperasi bukan bertujuan memperlekehkan persatuan muzik lain sedia ada tetapi mahu bertindak seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang memayungi nasib penggiat seni filem tetapi mereka pula membela nasib penggiat seni muzik.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @baggio_sufi & ammyfara_official