Ucapan tahniah daripada Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) menarik perhatian rakyat negara ini kerana beliau menyampaikannya dalam bahasa Malaysia.

Dalam satu video yang dimuat naik menerusi akaun Facebook, France in Malaysia, duta tersebut kelihatan fasih memberi ucapan tahniah pada Tun M dalam BM meskipun pada awalnya agak kekok.

"Saya ingin mengucapkan tahniah pada warganegara Malaysia atas perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan tahniah pada Tun Dr Mahathir di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya.



Beliau juga menyatakan perasaan gembira untuk menyaksikan proses demokrasi di negara ini yang berjalan dengan lancar dan aman.

"Pembebasan dan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merupakan pencapaian hak asasi manusia dan sumber kebahagiaan," katanya.

Malah, beliau menyatakan kerajaan Perancis bersedia bekerjasama dengan kerajaan baru dalam semua bidang.

Rakyat Malaysia juga memberi komen kagum dengan usaha Duta Perancis itu untuk cuba cakap Melayu sambil menyifatkan beliau tidak pelat dan cakap Melayu lebih baik daripada segelintir penduduk di negara ini.

Teks oleh: Elrafaei Sapi