Tumpuan masih ke arah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sampaikan jenama selipar milik beliau pun menjadi bualan ramai.

Sekeping foto selipar jenama Bata dalam gambar Tun M yang sedang duduk di kerusi dengan berkaki ayam ketika menghadiri sebuah majlis makan malam tular di media sosial.

Penangan viral membuatkan syarikat Bata memuat naik gambar sepasang selipar di laman Facebook rasmi mereka malam tadi.

Malah, Bata menjelaskan aksesori itu merupakan produk terlaris pada Ramadan ini.

Netizen juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan kesahihan daripada Bata tentang persamaan selipar yang dipakai oleh Tun M.

"Ia adalah selipar keluaran Bata yang sudah di pasaran sejak 20 tahun lalu. Hari ini, seorang pengguna laman sosial Instagram berkongsi gambar Tun M memakainya," tulis Bata.



Bata juga memuat naik rekaan selipar sama yang terkini dan dikenali sebagai Sandak by Bata.

"Rekaan semasa telah diperbaharui dan dipanggil Sandak by Bata. Tetapi ia selipar yang sama," tambah Bata.

Bagaimanapun, netizen tetap menyatakan hasrat untuk memiliki selipar sama yang dipakai Tun M baru-baru ini.

Malah, ada yang mencadangkan Bata untuk menambah variasi warna dan saiz yang lebih besar.

Ada juga yang meminta Bata untuk mendapatkan tanda tangan Tun M untuk model produk berkenaan.

Sandal rekaan vintaj itu dijual dengan harga RM11.99 di semua butik dan laman web rasmi Bata.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: Carian Google, Bata