Ketua kumpulan BIGBANG, G-Dragon, dilaporkan telah dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan pembedahan buku lali.

Menurut laporan Allkpop, sayarikat pengurusannya, YG Entertainment (YGE) menerusi kenyataan yang dikeluarkan mengesahkan berita tersebut.

"G-Dragon menerima rawatan pada pergelangan kaki kanannya di hospital pada April lalu dan disarankan menjalani pembedahan dengan segera.

"Dia akan kembali semula ke kem selepas pembedahan dan mendapat rehat yang cukup.

"Semuanya berjalan dengan lancar dan kami berharap agar G-Dragon segera sembuh daripada masalah penyakit yang dihadapi olehnya," kata wakil YGE.

Sebelum ini tular di media sosial apabila gambar G-Dragon yang sedang menjalani latihan khidmat ketenteraan menimbulkan kerisauan pada peminat mengenai tahap kesihatannya.

Menerusi gambar tersebut, G-Dragon yang lengkap berpakaian tentera dan memakai anduh pada tangan kirinya mula membuatkan peminat tertanya-tanya apa yang terjadi kepadanya.

G-Dragon dijadualkan tamat menjalani latihan ketenteraannya pada 26 November 2019.

Sumber: Allkpop
Susunan Oleh: Rozaimi Zubaidi