Pelakon Izreen Azminda mengakui terkejut apabila masih menerima tawaran sebagai duta produk walaupun dirinya dilanda kontroversi hingga dikecam sejak November lalu.

Menurut Izreen, dia menganggap tawaran yang diterima itu sebagai rezeki dan tidak mahu ambil pusing cakap-cakap orang sekeliling.

"Saya bertanya banyak kali kepada pengasasnya, Azura Baharudin mengenai tawaran yang diberikan kerana saya tidak mahu kontroversi memberi kesan kepada perniagaan mereka.

"Namun, pihak mereka kata okey dan menjelaskan bahawa kontroversi tersebut sudah pun berlalu, hidup perlu diteruskan.

"Allah lebih mengetahui segalanya dan saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan.

"Saya tidak mahu apa yang terjadi sebelum ini mematahkan semangat saya untuk bekerja kerana saya perlu meneruskan hidup seperti orang lain untuk membayar bil setiap bulan," katanya kepada AStro Gempak.

Izreen berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelantikan duta produk Magika, di Ara Event Hall, Taman Melawati, baru-baru ini.

Izreen sah bergelar isteri Ude pada 8 Ogos 2017 dalam satu majljs perkahwinan tertutup di Damansara.

Sebelum ini, Ude yang mempunyai dua orang cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Areq Muqri, 1, pernah berkahwin dengan Intan Liana Saleh pada tahun 2013 tetapi berpisah pada 22 Mac lalu.

Izreen pula mempunyai seorang anak, Muhammad Adrian Umar, 4, dan pernah bernikah dengan Muhammad Riza Baharuddin pada 2012. Mereka bercerai pada Jun 2014.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi