Muncul Dengan Single Terbaru, Mila Jirin Guna Khidmat Komposer Indonesia

Muncul Dengan Single Terbaru, Mila Jirin Guna Khidmat Komposer Indonesia
Pemenang Akademi Fatasia musim kelima, Mila atau nama sebenarnya, Noorsyarmilla Jirin, 31, menggunakan khidmat komposer Indonesia untuk single terbarunya.

Muncul dengan lagu berjudul Adam & Hawa, Mila bekerjasama dengan Sigit Baskara dari Jogjakarta, Indonesia.

"Saya berkenalan dengan Sigit menerusi laman Facebook kira-kira empat tahun lalu. Saya suka mendengar lagu Islamik ciptaannya berjudul Fatamorgana nyanyian Kumpulan The Q.

"Sudah empat tahun kami berhubung, awal tahun ini baru kami dapat bekerjasama. Saya terbang bersama suami dan anak ke Jogjakarta pada awal Mac lalu untuk rakaman lagu dan muzik video," kata Mila.

BACA: "Pada Mulanya, Suami Tak Izinkan Saya Kembali Aktif Menyanyi, Tapi..." - Mila Jirin

Menceritakan pengalamannya berada di studio rakaman, penyanyi lagu Jika Kau Ubah Fikiran ini diuji dengan keadaan kesihatan anaknya, Mohd Arif Zikri.

"Rakaman lagu dilakukan di studio milik pemain gitar Kumpulan Sheila On 7, Eross Candra. Ketika itu, anak saya demam kerana mahu tumbuh gigi.

"Dia langsung tidak mahu berenggang dan merengek serta kerap menangis. Namun begitu, saya bersyukur kerana akhirnya semua berjalan lancar.


"Lirik lagu ini diterjemahkan menerusi Al-Quran yang menceritakan pertemuan Nabi Adam AS dan isterinya, Hawa selepas 200 tahun terpisah. 

"Saya melihat Sigit memiliki ilmu seni yang halus. Dia mentafsir Al-Quran untuk menghasilkan lirik lagu Adam & Hawa. Saya berharap agar single saya mendapat sambutan dan diterima peminat," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Ihsan Mila Jirin

Artikel Berkaitan