Pelakon Adam Corrie mengakui telah mula berpuasa ketika berusia 11 tahun walaupun ketika itu dirinya belum memeluk agama Islam.

Menurut entri di Instagram (IG), Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 50, menjelaskan dia merasai dua nikmat berbeza ketika mula berpuasa setelah dan sebelum memeluk Islam.

"Saya mula berpuasa ketika usia 11 tahun, ketika itu belum Islam, hanya dapat lapar dan dahaga. Ikut kawan Islam puasa.

"Saya pertama kali berpuasa dan solat ketika usia 39 tahun, ketika itu saya baru sahaja memeluk Islam. Nikmatnya berbeza. Alhamdulillah.

"Itulah bezanya puasa orang Islam dengan yang belum Islam berpuasa adalah puasa dan solat. Sayang kalau kita puasa tapi tak solat.

"Penat berpuasa, bukan alasan untuk tidak solat wajib lima waktu. Tapi lagi haru kalau kata tak larat puasa dan solat sebab kerja kuat," tulisnya.

Adam Corrie memeluk Islam pada 13 Julai 2007 dan dia juga kerap berkongsi pandangan dan pengalaman sebagai mualaf di laman sosialnya.

Adam dan isterinya, Fazema Mohd Fuad, 36 melangsungkan pernikahan pada 2008 dan selepas 10 tahun menanti, pasangan ini bakal menyambut kelahiran bayi sulung mereka tidak lama lagi.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram