Selepas lapan jam mengeledah kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta awal pagi ini, pihak polis membawa keluar tiga kotak berisi barangan peribadi.

Menurut peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal, kotak tersebut mengandungi beg tangan, pakaian serta hadiah milik bekas perdana menteri itu.

“Pencarian dilakukan bawah Akta Penggubahan Wang Haram (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001).

Maklumnya lagi, anak guamnya memberikan kerjasama penuh terhadap pihak polis sepanjang operasi pencarian dijalankan.

“Ia mengambil masa yang lama kerana ini rumah yang besar, jadi polis perlu periksa setiap bilik,” tambahnya.

Harpal berkata, pihaknya tidak dimaklumkan setakat ini sama ada Najib akan dipanggil untuk disoal siasat atau tidak berhubung kes ini.

"Tiada dokumen dirampas, juga tiada tangkapan dibuat hari ini,” katanya.

Pencarian di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta bermula sekitar jam 10.15 malam semalam tidak lama selepas Najib pulang dari menunaikan solat terawih di Kampung Baru.

15 kenderaan polis merangkumi SUV, trak dan kereta mula bertempat di perkarangan kediaman beliau, yang turut dibanjiri pengamal media dalam dan luar negara, juga ditemani puluhan penduduk sekitar.

Selain itu menurut Harpal, operasi pencarian turut dijalankankan di dua lot kediaman di Menara Pavilion, Kuala Lumpur, pada waktu sama.

Sumber: Astro Awani