Ketua Pegawai Eksekutif Mood Republik, Datuk Kimi Iskandar Ismail tidak menafikan tradisi hujan duit yang dilakukan di setiap lokasi festival terbabit menerima kecaman.

Mood Republik menjadi festival fesyen dan kecantikan paling terkenal di Malaysia yang membariskan hampir 1000 jenama usahawan bumiputra serta jenama milik ramai selebriti terkemuka seperti Emma Maembong, Yana Samsudin, Rozita Che Wan, Zain Saidin dan ramai lagi.

"Saya akui, kecaman itu ada. Ada yang suka, ada yang tidak dengan hujan duit ini tetapi kami tetap dengan pendirian untuk meneruskan perkara tersebut.

"Sudah menjadi tradisi untuk Mood Republik melakukan acara hujan duit. Apa yang penting, kami telah meletakkan garis panduan tersendiri.

"Seperti biasa, golongan kanak-kanak, individu kelainan upaya, perempuan yang sedang hamil dan warga emas tidak boleh menyertai hujan duit. Kalau ada antara mereka yang melanggar syarat yang kami sudah tetapkan, pasukan Rela akan bertindak untuk tarik mereka keluar dari kawasan tersebut," kata Kimi.

Tambahnya, acara hujan duit sudah banyak kali diadakan tetapi semuanya masih dalam keadaan terkawal.

"Selain anggota Rela yang akan bertugas untuk memantau keadaan, ada dua ambulans yang menanti sepanjang berlangsungnya festival sekiranya terdapat sebarang perkara yang tidak diingini. Setakat ini, semuanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui di sidang media Back To Back Raya Galore Festival Mode Republik 2018 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific semalam.

Festival fesyen dan kecantikan terbesar yang diadakan di Kelantan pada 18 dan 19 Mei, Kedah (1 & 2 Jun), Pahang (2 & 3 Jun) dan lokasi kemuncak, KL Raya Fest 2018 akan berlangsung PWTC pada 8 sehingga 10 Jun selama 72 jam tanpa henti.

Tahun ini, seramai 97 selebriti yang terbabit dalam Mood Republik seperti Yana Samsudin, Zain Saidin, Emma Maembong, Ziana Zain, Fazura, Fattah Amin dan ramai lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Mood Republik