"Itu cerita lamalah."

Ungkapan bersejarah itu diutarakan Pemimpin Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila ditanya tentang sejauh mana keikhlasannya untuk kembali bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Mengakui sering diajukan dengan persoalan itu, kata Anwar, ada pihak yang sinis dengan keputusannya memberi sokongan kepada Tun Mahathir untuk memimpin negara.

"Ada pemimpin tertinggi bertanya kepada saya, 'Anwar, pandang saya dan beritahu anda sudah maafkan beliau (Tun Mahathir).

"Saya pandang dia, dan saya cakap, keutamaan saya adalah negara dan saya sudah maafkan Tun," kata Anwar dalam sidang media di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur sebaik dibebaskan hari ini.

Tambah Anwar lagi, Tun Mahathir telah membuktikan betapa katanya akan dikotakan, dan tiada sebab untuk terus bermusuh dengan mentornya itu.

"Beliau berjuang dan bersusah payah dengan satu niat mahu memulihkan negara. Malah beliau juga membantu dalam pembebasan saya.

"Jadi kenapa saya perlu menyimpan dendam?" tenang sahaja pertanyaan itu diluahkan.

Sedar pasti akan ada yang cuba mengungkit kisah lama mereka, namun Anwar meminta semua pihak tidak menghiraukannya kerana ia hanya sebahagian daripada agenda menggugat kententeraman dan kemaraan negara ke arah lebih positif.

"Golongan ini ada kepentingan masing-masing, jangan pedulikan mereka.Tetapi saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan beliau dan jika berlaku peralihan kuasa, ia akan menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan rakyat," tambahnya.

Ditanya perancangan yang dibuat untuk melakukan comeback ke arena politik, ini jawapan Anwar.

"Saya tak pernah tinggalkan politik. Ya, memang sebelum ini pembabitan saya terhad, tapi saya tidak pernah ke mana-mana," katanya tersenyum.

Sumber: Astro Awani
Foto: Carian Google