"Himpunan Harapan Warga Seni Tak Relevan" - Ahmad Idham

Hiburan

Pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berharap masa depan industri perfileman tempatan terus diperjuangkan dengan memperkasakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
 
Baginya, FINAS menjadi platform terbaik dalam memajukan industri filem tanah air tanpa perlu wujud sebarang persatuan atau gerakan baru untuk menyokong kerajaan yang baru ditubuhkan.
 
"Kenapa saya tak sokong gerakan himpunan yang diadakan semalam sebab kita ada FINAS. Bagi saya, FINAS sudah cukup kuat untuk kita perkasakan dalam memajukan industri perfileman dan hiburan tanah air," katanya kepada Astro Gempak.
 
Semalam, satu Himpunan Harapan Warga Seni diadakan sebagai satu usaha membantu penggiat seni menerusi cadangan yang dikemukakan sebelum satu skretariat diwujudkan.
 
Ahmad Idham berpandangan acara sedemikian tidak berasas dan tidak relevan.
 
Apa yang menjadi persoalan pada Ahmad Idham adalah pengurusan FINAS sebelum ini iaitu merujuk jawatan pengerusi dan ahli lembaga yang dibuat menerusi lantikan politik.
 
"Mereka ini bukan pemain industri mahupun pakar dalam bidang perfileman sehingga sudah terbukti apa yang dilakukan selama ini gagal," katanya.
 
Tegasnya, budaya sebegini perlu dihentikan serta merta agar perubahan dapat dilakukan pada pengurusan FINAS untuk menerajui industri dengan lebih fokus.
 
"Ramai orang berkata mereka tahu pemikiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tapi tidak ramai yang kaji pemikiran beliau iaitu memperkasakan kedaulatan undang-undang.
 
"Jadi, pihak yang sepatutnya mendaulatkan undang-undang adalah FINAS. Apa makna Malaysia baru jika sistem lama masih digunakan," katanya.
 
"Saya percaya FINAS ada 'blueprint' dan penambahbaikan yang mahu dilakukan tapi pelarasan dan pelaksanaannya tiada kerana dikaitkan dengan agenda politik," katanya.
 
Ujarnya, FINAS tidak perlu orang politik untuk bercerita mengenai industri perfileman sebaliknya menyerahkan perkara tersebut pada pemain industri yang lebih arif.
 
"Ibaratnya saya nak bagitau orang politik apa yang terbaik untuk politik mereka. Kita tak perlu kroni-kroni politik sebab kita pemain industri sudah cukup pakar.
 
"Sebagai contoh, bekas pengerusi FINAS sebelum ini mahu membuka akademi filem di tempatnya sendiri, agenda Zahrin sebagai pengerusi skim wajib tayang sehingga statistik menunjukkan banyak filem gagal termasuk Datuk Rizal Mansor, pembantu khas kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang secara tiba-tiba masuk dalam ahli perbadanan FINAS 'bantai' artis di media sosial," katanya.
 
Jelasnya, senario begitu jangan diulang sebaliknya nasib penggiat seni terus dibela dalam industri tempatan sendiri.
 
Teks oleh: Elrafaei Sapi
 
Foto: Astro Gempak
 

Artikel Berkaitan