Penyanyi popular, Mawi sentiasa tenang dan bersikap positif terhadap kontroversi satu klip video nyanyiannya bersama isteri bekas pemimpin parti pembangkang yang disebarkan menerusi media sosial.

Jelasnya, perkara tersebut tidak perlu dipanjangkan netizen yang mengkritiknya di media sosial.

"Pada saya perkara ini tiada apapun isu malah, tak perlu jadi isu. Ini semua komen netizen yang tidak pernah menonton klip video tersebut yang dirakam pada tahun 2005," katanya kepada Astro Gempak.

Penyampai radio Zayan ini sebaliknya mahu mengajak netizen menghayati bait-bait lagu Lara Jiwa dalam klip video itu yang menjadi lagu tema bencana alam di Kedah pada ketika itu yang dilanda ribut.

"Sempena Ramadan kali ini, apa kata kita menghayati lagu ini," katanya.

Secara positif, Mawi melihat isu tersebut turut memberi impak pada bilangan pengikutnya di media sosial yang makin bertambah.

"Sebagai manusia, kita kena hormat pada kepercayaan atau pandangan orang lain terhadap diri sendiri. Paling penting, kita menjadi diri sendiri dan menjaga hubungan yang baik antara satu sama lain," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @cahayaasmawi