Penyanyi Lan Solo mengakui sebelum ini tidak pernah berpeluang untuk menggayakan pakaian daripada pereka fesyen terkenal.

Menurut Lan, sejak tampil dengan imej yang berbeza kini dia sering mendapat tajaan daripada pereka-pereka terkenal tanah air untuk mengayakan baju mereka ketika melakukan persembahan.

"Sejak bergerak solo saya kini lebih mementingkan penampilan yang disukai peminat dan penyokong dengan mengikut gaya penampilan yang lebih segar.

"Sebelum ini saya sukar untuk mendapat tajaan pakaian kerana sering tampil dengan imej memakai baju-T dan jeans.

"Jika dahulu, saya sendiri tidak pernah merasa untuk menggayakan pakaian daripada pereka-pereka terkenal tanah air.

"Sekarang ini alhamdulillah, saya berpeluang untuk merasa memakai pakaian yang lebih bergaya dan berani mencuba beberapa jenis penampilan atau fesyen," katanya kepada Astro Gempak.

Lan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single solo pertamanya yang berjudul Berpisah Tanpa Rela, di Warner Music, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram