Penyanyi Kaka Azraff, 27, menjawab dakwaan tidak sebulu dengan rakan artis.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqah Noor Azraff berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dijadikan satu isu yang perlu diperkatakan.

"Bagi saya, tiada isu pun sebenarnya. Saya baik dengan rakan-rakan dalam industri, tetapi ada had dan batasannya.

"Fokus saya adalah untuk memperkembangkan karier baik dalam bidang muzik mahupun lakonan. Pengalaman sebelum ini telah banyak mengajar dan mematangkan saya," katanya kepada Astro Gempak.

Bercakap mengenai kekasih, pelakon filem Alif Dalam 7 Dimensi ini menjelaskan yang dirinya masih lagi solo.

"Setakat ini saya selesa bersendirian. Memang ada berkawan, tetapi semuanya hanya sekadar teman biasa sahaja. Saya mahu memberikan tumpuan terhadap kerjaya," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran single terbarunya yang berjudul Terima Kasih.

Menerusi lagu baru tersebut, Kaka sekali lagi menggunakan khidmat bekas anggota kumpulan Sleeq, Alif Abdullah sebagai komposer dan penulis lirik selepas kejayaan lagu Bukan Hal Aku.

"Saya selesa bekerja dengan Alif kerana muziknya menepati citarasa saya. Terima kasih merupakan salah sebuah medium saya untuk memberikan penghargaan kepada semua pihak yang pernah membantu saya sepanjang perjalanan dalam bidang muzik," katanya lagi.

Di majlis yang sama, Kaka turut melancarkan muzik video lagu ini yang diarahkan oleh pengarah tersohor Ghaz Abu Bakar.