Produser drama bakal menikmati peluang sama rata untuk mendapatkan 'airtime' atau jumlah tayangan sekiranya cadangan dan perubahan dapat dilakukan secara bersama.

Pengerusi acara Himpunan Harapan Warga Seni, Datuk Seri Zaienal Abidin berkata, penggiat seni perlu bersatu dalam membawa cadangan seperti ini agar ketirisan terhadap masalah mendapat 'airtime' yang berlaku sebelum ini dapat diselesaikan.

"Penerbit drama tidak perlu mohon tapi ia mesti diberi sama rata kepada produser drama yang berdaftar dengan persatuan masing-masing," katanya pada program itu yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.

Ujarnya, dia mengharapkan cadangan daripada semua penggiat seni untuk bertindak dalam mencapai harapan dan matlamat bersama dalam industri hiburan tempatan.

"Persatuan boleh jalankan tugas mereka dan juga mengemaskini ahli yang terbabit. Ketirisan ini boleh dihapuskan seratus peratus," katanya.

Acara tersebut sebelum ini dikritik segelintir penggiat seni yang beranggapan ia diadakan sebagai motif politik pihak tertentu.

Datuk Norman Abdul Halim yang juga hadir sebagai panel acara itu menyatakan beliau mengharapkan aspek pelaburan yang lebih besar dalam dan luar negara dapat diwujudkan tanpa bergantung pada dana kerajaan.

"Dua perkara yang ingin saya fokuskan iaitu menggalakkan pelaburan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap masalah cetak rompak dan hakcipta," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak