Pelawak kumpulan Bocey, Fad menyifatkan persembahan mereka selama lapan minggu dalam program Bocey & Friends Live mencapai klimaks yang baik pada penghujung persembahan mereka.

Akuinya, persembahan sepanjang dua bulan ini berjalan lancar meskipun berdepan banyak dugaan yang ditempuh dan maklum balas yang diterima daripada penonton.

"Alhamdulillah, kami dapat berikan persembahan yang terbaik dan saya rasa kawan-kawan lain juga bersetuju serta kami berpuas hati," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, mereka terharu apabila pihak Astro memberi peluang untuk mengadakan program secara langsung selama satu jam.

"Kami mempunyai kumpulan yang sangat membantu, semua tiada cacat cela dan kami rasa berbesar hati. Terima kasih pada semua yang menonton dan menyokong serta pada yang mengkritik, terima kasih juga kerana mungkin kritikan anda jadikan kami lebih baik dari setiap minggu ke minggu," katanya.

Ujarnya, kritikan yang diterima daripada penonton bergantung pada topik dan karakter dalam persembahan setiap minggu.

"Ada yang baik dan tak baik tapi sebenarnya kami rangkulkan semuanya kritikan dan komen mereka itu untuk kami perbaiki persembahan pada setiap minggu, jika tidak kami akan rasa selesa sangat," katanya.



Bagi Fad, Bocey tidak ambil hati daripada kritikan negatif yang diterima sebab percaya sesiapa saja mempunyai hak untuk bersuara.

"Tiada masalah pada kami sebaliknya, apa yang penting kami buat dengan ikhlas untuk semua yang menyokong dan terima kasih pada penonton yang sudi untuk menonton kami," katanya.

Sepanjang lapan minggu persembahan komedi pentas yang dibawa CIMB ini, Fad mengakui ada pasang surut pada persembahan mereka.

"Dari minggu pertama kami tak pergi jauh atau jauh turun. Kami rasa, kami bagi sedang-sedang elok seperti mana kami guna strategi yang sama ketika Maharaja Lawak Mega (MLM) dulu.

"Ada minggu macam tak 'all out' tapi sepanjang lapan minggu apabila sampai ke penghujung kami rasa ia adalah klimaks yang baik dan kami berpuas hati," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak