Penjaga dua Kota Suci Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Menurut laporan agensi berita Arab Saudi (SPA), Raja Salman telah menzahirkan ucapan tersebut menerusi satu perbualan telefon.

Raja Salman turut memuji hubungan rapat antara dua negara dan usaha untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Tun Mahathir dilaporkan menyatakan hasrat untuk mengukuhkan hubungan Arab Saudi dan Malaysia dan mencapai kata sepakat dalam isu-isu yang menjadi kepentingan bersama.

Raja Salman pernah membuat lawatan rasmi julung kali ke Malaysia pada tahun lalu.

Tun Mahathir mencatatkan rekod dunia apabila dilantik menjadi Perdana Menteri pada usia 92 tahun.

Sumber: Astro Awani