Bagi memastikan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali dalam arena politik, beliau memerlukan masa bagi proses penyembuhan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Anwar Ibrahim akan mula mentadbir selepas proses peralihan kuasa berlaku dengan aman.

“Walaupun Anwar sudah biasa menjadi pentadbir, biarlah dia sembuh dahulu dan dalam keadaan baik. Biar kerajaan baharu ini angkat sumpah setia kepada negara.

“Biarlah proses itu berlaku dahulu sebelum Anwar kembali aktif dalam arena politik ini. Biarlah peralihan kuasa dengan aman dan harmoni dahulu,” katanya.

Sementara itu, Anwar kini masih meneruskan fisioterapi bagi bahu kanannya di hospital setelah menjalani pembedahan November lalu.

Anwar mengalami kecederaan kecil di bahunya selepas kenderaan Jabatan Penjara yang membawanya pulang ke Penjara Sungai Buloh terlibat dalam kemalangan jalan raya September lalu.

Sumber: Astro Awani