Anak tiri kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Asyraf Khalid berterima kasih kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas keberanian beliau bersikap lebih terbuka.

Asyraf yang memberikan komen di bawah kenyataan Syed Saddiq berhubung Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd dan CEO Bersama Kumpulan AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes semalam, mendedahkan keluarganya juga pernah menerima beberapa gangguan daripada kerajaan sebelum ini.

Asyraf mendakwa sebelum ini dia pernah menerima amaran selepas dia memuat naik gambarnya bersama Syed Saddiq.

Dia diminta untuk tidak berbuat demikian kerana tindakannya itu dianggap sebagai satu tanda sokongan secara terbuka kepada Ketua Pemuda Bersatu itu.

“Kita berada di dunia yang tidak bebas melakukan sebarangan termasuk membuat posting di Instagram,” katanya.

Bagaimanapun, Asyraf kini gembira atas perubahan baharu yang berlaku dan berharap keadaan akan kekal selamanya.

“Saya mahu lihat Malaysia terus maju,” katanya.



Semalam, Syed Saddiq menggesa orang ramai supaya berhenti mengecam dan melabel Tony Fernandes sebagai seorang pengkhianat.

Kata beliau, Tony telah didesak untuk melakukan sokongan terbuka kepada kerajaan sebelum ini.

Menurut Syed Saddiq, beliau berjanji era kerajaan baharu ini akan memastikan rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memberi kritikan secara terbuka kepada kerajaan.

Sumber: Astro Awani
Foto: Instagram Asyraf