Pencapaian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) mentadbir negara selama 22 tahun sebelum ini sehingga menjadi Perdana Menteri semula bakal dijadikan inspirasi kepada sebuah filem.

Pengarah filem, Rizal Halim memberitahu dia mahu menterjemahkan kisah Tun M di layar perak untuk tatapan penonton tempatan mahupun antarabangsa.

"Insha Allah, saya lebih kepada apa yang penonton mahu lihat dalam sesebuah filem dan bukannya filem patriotik yang asyik balik kepada peperangan zaman dahulu," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, bagi menarik perhatian penonton, sesebuah filem itu harus diwujudkan aksi yang berlebihan sedikit supaya ada nilai produksi.

"Rakyat memang sayangkan Tun M, itu tidak dinafikan. Namun, filem ini bukan 'love story', tiada elemen filem Melayu konvensional," katanya.

Rizal yang pernah mencipta nama sebagai pengarah Malaysia pertama yang menerbitkan filem di Australia menerusi Lurking Woods turut memuat naik satu poster mengenai idea filem barunya itu di media sosial.

Ujarnya, dia lebih gemar filem ini difiksyenkan daripada mengikut 100 peratus perjalanan sebenar agar lebih dramatik dan mempunyai citrasa seperti filem aksi Hollywood.

Secara peribadi, Rizal berpandangan Tun M sebagai individu yang tidak sombong dan sememangnya rakyat negara ini bertuah mempunyai pemimpin sepertinya.

Malah, Rizal juga berbangga sejak dulu pencapaian Tun M mengangkat nama Malaysia di peta dunia sehingga ada yang lebih mengenali beliau dibandingkan Malaysia.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @chedetofficial