Selepas dua minggu bersiaran, Super Spontan Superstar (SS Superstar) semakin hangat apabila dua kumpulan iaitu Harimau Hipster dan Monyet Mafia semakin agresif mempertahankan kumpulan masing-masing.

Lebih hangat lagi apabila Johan dan isterinya Ozlyn terpaksa menjadi musuh untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kumpulan masing-masing.

Agak lucu apabila Johan ‘tewas’ dua minggu berturut-turut menerusi permainan soal jawab di tangan Ozlyn.

“Sebenarnya saya sengaja beri peluang kepada Ozlyn supaya dia menang. Lagipun saya rasa dia takkan masuk final.

“Jadi selepas ini saya rasa saya akan sertai permainan yang tak ada Ozlyn, untuk mengelakkan kekalahan berterusan kepada kumpulan Monyet Mafia.

“Lagipun bila berdepan dengan isteri sendiri, takkan saya nak biarkan dia kalah? Siapa tak sayang bini,” katanya ketawa.

Menurut Johan, penglibatan isterinya dalam SS Superstar bukan satu masalah malah ia mengeratkan lagi hubungannya dengan Ozlyn.

“Di rumah Ozlyn ada bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada saya tentang ‘skill’ dan cara bermain beberapa permainan di Super Spontan.

“Tiada masalah untuk kami bersaing dalam Super Spontan kerana ia bukan sesuatu yang tidak sihat. Jika ditakdirkan saya atau Ozlyn tersingkir lebih awal, itu rezeki masing-masing,” jawabnya jujur.

Super Spontan Superstar menampilkan Datuk AC Mizal sebagai hos ditemani Amir Raja Lawak yang bertindak sebagai ‘batu api’ untuk menghangatkan lagi pentas.

Adflin Shauki memegang amanah selaku komentator, berpasangan dengan seorang selebriti jemputan yang diundang setiap minggu.

Masih mengekalkan format asal, program realiti Super Spontan Superstar bersiaran secara langsung dari Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (UPM), Serdang pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam ditayangkan serentak menerusi Astro Warna (Saluran 132) dan Mustika HD (Saluran 134).

Sebelum itu jom tengok alasan yang diberikan Johan kepada Astro Gempak mengapa dia tewas di tangan Ozlyn dan amaran kepada kumpulan Harimau Hipster: