Sehari selepas Pakatan Harapan (PH) menang majoriti kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-7.

Istiadat majlis tersebut diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, semalam.

Pelantikan Tun M yang dijangka belangsung pagi semalam ditunda sehingga mendapat perkenan Sultan Muhammad V yang diadakan pada malam tadi.
Tun M mencipta sejarah negara sebagai Perdana Menteri yang dilantik buat kali kedua mengikut sistem demokrasi dan Perlembagaan Malaysia.

Malah, usia Tun M yang mencecah 93 tahun pada tahun ini menjadi perdana menteri tertua dalam sejarah Malaysia dan dunia!

Kejayaan Tun M kembali memimpin negara juga bersejarah apabila menggantikan parti Barisan Nasional yang memerintah sejak mencapai kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Pengerusi PH itu mengetuai gabungan parti komponen terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah, Warisan dan DAP membentuk kerajaan selepas menang majoriti 122 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Tun M yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat pada tahun 1981 sehingga 2003 juga menang kerusi Parlimen di Langkawi pada PRU14 kali ini.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Dr. Mahathir bin Mohamad (Facebook)