Memulakan langkah sebagai model dan pelakon dalam bidang seni, pengacara program HLive, Yaya Zahir kini lebih selesa dengan bidang pengacaraan.

Pemilik nama sebenar Zuhairah Zahir ini pernah membintangi beberapa drama bersiri popular di kaca televisyen.

"Sebelum ini, saya pernah terlibat dalam drama bersiri Syurga Nur, Mr London Ms Langkawi dan Hikayat Cinta Si Pematah Hati.

"Saya juga aktif sebagai model. Namun begitu, saya lebih selesa menggalas tugas sebagai pengacara dan wartawan penyiaran.

"Bergelar seorang wartawan penyiaran, saya dapat mengembara sehingga ke luar negara, berinteraksi dengan ramai orang dan berjumpa dengan individu yang berbeza hampir setiap hari," kata Yaya.

Biarpun selesa dengan bidang pengacaraan, Yaya bersetuju yang bidang lakonan memberikan pengalaman berbeza buat dirinya.

"Menjayakan karakter orang lain dalam bidang lakonan menjadi satu perkara yang menyeronokkan. Ia juga memberikan pengalaman berbeza buat saya.

"Terbaru, saya dapat menjayakan watak Nina dalam drama bersiri online, 3 Gadis Manis musim kedua. Saya gemarkan jalan cerita yang ditonjolkan dalam drama bersiri ini.

"Konsep persahabatan dan memperkasakan wanita yang diterapkan dalam 3 Gadis Manis musim kedua menjadi punca utama saya menerima tawaran untuk menjayakan watak Nina," katanya lagi.

3 Gadis Manis musim kedua merupakan karya digital kompak terbitan portal Gempak menerusi segmen Gempak Original Series dan menampilkan lakonan Hannah Delisha, Yaya Zahir, Dee Alhadi, Aedy Ashraf dan Fahad Iman.

Diarahkan oleh Junad M.Nor dan dibantu oleh Nadirah Zakariya, 3 Gadis Manis musim kedua yang diharumkan oleh NIVEA bersiaran sebanyak tujuh episod menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 April.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Yaya