Pelakon Leez Rosli mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga selepas melahirkan anak sulung, Nur Safiyya Alisha yang kini berusia dua tahun.

Menurut Leez, dia sukar untuk menerima tawaran yang diberikan kerana tidak boleh berjauhan dengan anaknya.

"Selepas berkahwin dan melahirkan anak saya kini selesa untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.

"Saya bahagia dengan kehidupan sekarang dan perkara itu tidak bermaksud saya sudah meninggalkan bidang seni.

"Buat masa sekarang saya belum bersedia untuk menerima tawaran lakonan kerana anak saya masih menyusu badan dan tiada orang untuk menjaganya.

"Saya sebenarnya susah untuk membiarkan orang lain menjaga anak kerana saya mahu beri sepenuh perhatian kepadanya yang sedang dalam proses membesar," katanya kepada Astro Gempak.

Leez berkata demikian ketika ditemui ketika majlis sidang media Festival Ramadan Putrajaya 2018 di Putrajaya, baru-baru ini.

Festival tersebut bakal diadakan pada 17 Mei sehingga 14 Jun dengan penglibatan 30 artis popular yang akan membuka gerai masing-masing antaranya Erra Fazira, Fasha Sandha, Fahrin Ahmad, Ramlah Ram, Ella dan Haiza.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Kredit Foto: Instagram