Seperti selebriti Hollywood yang sinonim dengan berita mengenai pengaruh dan penggunaan dadah, selebriti tempatan Malaysia juga tidak terkecuali untuk terpalit dengan detik hitam itu.

Kebanyakan artis Malaysia yang terkesan dengan isu dadah mengakui kesalahan mereka, menyesali perbuatan dan berubah ke arah yang lebih baik.

Astro Gempak menyenaraikan artis-artis Malaysia yang pernah atau sedang dikaitkan dengan kontroversi yang melibatkan dadah:

Uqasha Senrose

Bintang Hero Seorang Cinderella ini ditahan selepas polis menemui enam ‘aluminium foil’ mengandungi 53 pil eramin 5 di dalam beg tangan miliknya Ahad lalu.

Menurut sumber, dadah terbabit ditemui selepas Uqasha dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail pada pagi Ahad lepas.

Mengakui dirinya tidak 'lalok', Uqasha menegaskan ujian air kencing sudah dilakukan dan keputusannya negatif. Kes masih berada dalam siasatan.

Datuk Farid Kamil

Pelakon filem Lagenda Budak Setan ini didakwa memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke dalam badannya pada 11 Januari lalu.

THC ialah kumpulan dadah jenis kanabis atau ganja.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika disabitkan kesalahan.

Mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut, peguam Farid memohon kepada mahkamah supaya sebutan kes ditangguhkan sehingga 29 Jun depan bagi membolehkan Farid menjalani pembedahan lutut di sebuah hospital di ibu negara dalam masa terdekat.

Saiful Apek

Pelawak terkenal ini didapati bersalah bersalah memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badannya pada 12 Jun 2010.

Pada 22 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pelawak itu membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret membebaskan mereka daripada pertuduhan pada 25 Jun tahun sama.

Saiful Apek dan pekerjanya dibebaskan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Zarina Anjoulie

Pelakon yang pernah dikenali dengan imej seksi, Zarina Anjoulie Lavocah Mohamad Fahizul ditahan kerana didakwa memiliki dua biji pil Eramin 5 dan positif dadah jenis ‘methampetamine’ bersama seorang rakan lelakinya di Armanee Condominium di Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 30 Disember 2013.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah memiliki dua pil Eramin 5 seberat 0.6gram ketika pertuduhan tersebut dibacakan oleh Majistret Nazri Omran. Mereka berdua boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau dendan RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Zarina juga pernah ditangkap polis pada satu Ops Perayaan Tahun Baru Cina 2010 di LCCT kerana disyaki mengambil dadah.

Ezad Lazim

Ezad Lazim ditahan di perkarangan tempat letak kereta di sebuah pusat beli belah di Selayang kerana memiliki satu peket dadah syabu pada 20 November 2014.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Muhammed Hasbullah Ali ketika dihubungi berkata, hasil pemeriksaan ke atas artis terbabit menemui satu peket lutsinar dadah jenis syabu seberat 0.3 gram dalam gengaman tangan kiri.

Ezad menjalani ujian air kencing dan disahkan positif dadah syabu.

Sumber: Astro Awani, MStar
Foto: Iluminasi, Sinar Harian