Ramai peminat keliru antara lagu genre nasyid dan ketuhanan sehingga menganggap penyanyi itu layak digelar ustaz dan ustazah.

Penyanyi kumpulan Far East, Ustaz Nabil Ahmad berkata, lagu ketuhanan membawa mesej yang baik pada pendengar dibandingkan genre muzik lain.

"Liriknya bagus cuma jika lagu berentak ketuhanan, apa yang penting adalah mesej, kedua merujuk pada muzik dan ketiga, penyanyi kerana dia akan menjadi satu biasan kepada apa yang disampaikan," katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, penyanyi lagu nasyid mahupun ketuhanan perlu mempunyai imej yang baik yang tidak mengelirukan peminat terhadap mesej dalam lagunya.

"Kami ada bincang dalam kumpulan mursyid, kalau boleh bukan benda wajib kena ikut tapi lagu nasyid diletakkan berbeza dengan lagu ketuhanan.

"Sebabnya lagu nasyid nak bagi orang faham, penyanyi itu memang ada latar belakang agama macam Mirwana menyatakan mereka bukan kumpulan nasyid," katanya.

Ustaz Nabil yang juga bertugas sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberitahu kedua genre ini perlu diasingkan seperti mana genre muzik lain yang lebih khusus antaranya irama Malaysia, balada dan pop.

"Sesiapa boleh menyanyikan lagu ketuhanan cuma bimbang semua penyanyi ini digelar ustaz.

"Katakanlah dia seorang penyanyi rock yang nak membawa lagu ketuhanan, memang tiada masalah tapi dia perlu jaga imej dan niat sebab ia ada mesej tersirat dan tersurat. Tersiratnya pada diri masing-masing seperti mungkin dia nak berubah," katanya.

Baginya, mesej lagu ketuhanan bukan sekadar pada lirik tapi penyanyi yang menyampaikannya.

"Jika dia penyanyi lagu ketuhanan membawa imej ustaz, itu dia kena ada satu tarbiah secara tidak langsung. Maksudnya dia bukan ustaz tapi ia adalah panggilan yang lebih baik," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak