Bintang Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2), Fitri Haris mendedahkan dia tidak sempat menghabiskan lagu Di Matamu kerana terheret dengan emosi sedih di pentas.

Jelas Fitri, momen itu menjadi lebih syahdu dan sebak apabila melihat air mata yang mengalir di pipi pelakon undangan, Ariff.

"Sebenarnya saya sudah menangis ketika di atas pentas lagi sampai tidak boleh menuturkan dialog dan lirik lagu itu hingga habis.

"Saya gagal mengawal perasaan saya terutama apabila melihat air mata Ariff.

"Kalau saya teruskan juga menyanyi saya akan menangis teruk. Jadi saya berhenti dan terus memeluknya," kata Fitri.

Persembahan beremosi itu sekali lagi meletakkan Fitri sebagai bintang teratas pada konsert separuh akhir GGV2 minggu lalu.



Tambah Fitri dia berdepan cabaran untuk menyanyikan lagu milik Sufian Suhaimi itu memandangkan lagu itu sudah cukup sempurna daripada lenggok dan penceritaan.

"Ketika rehearsal persembahan saya hancur! Sebab lagu ini sudah dibuat dengan jiwa Sufian Suhaimi. Dia sudah letak all out.

"Jadi saya dapatkan Adeep Nahar untuk membimbing saya. Katanya satu perkara sahaja yang boleh menyelamatkan saya iaitu rasa.

"Sebab itu, ketika persembahan tempo nyanyian saya entah kemana tetapi rasa yang menjadikan lagu ini masuk dengan lenggok saya.

"Rasa dapat mengubah mesej daripada percintaan kepada tanggungjawab ibu bapa terhadap amanah Allah iaitu anak," kata Fitri.



Fitri bakal menyanyikan lagu Al Nura... Yang 5... Yang 6 pada konsert akhir GGV2 minggu hadapan.

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam.

GGV2 akhir akan ditayangkan di lima saluran iaitu Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135), Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123) dan saluran terbaharu sempena Ramadan, Ramadan HD (saluran 122).

Konsert final GGV2 bakal membawa tema Gema Akhir dan 6 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan