Penyanyi Lan Solo mengakui penglibatannya dalam bidang lakonan kerana ingin mengembangkan bakat yang ada pada dirinya.

Lan atau atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata, dia menerima tawaran lakonan yang diberikan kerana ingin menambah pendapatan lebih untuk keluarganya.

"Nyanyian merupakan pekerjaan tetap saya sejak dulu lagi namun saya juga mempunyai minat yang mendalam dalam bidang lakonan.

"Jadi bagi saya lakonan boleh mengisi masa lapang dan dalam masa yang sama untuk mencari wang lebih untuk keluarga.

"Kebiasaannya saya hanya sibuk pada hujung minggu dan ada waktu terluang pada hari biasa jadi saya gunakan untuk berlakon.

"Buat masa sekarang saya sudah berlakon untuk beberapa drama seperti Pengantin Musim Salju dan Cekelat Tak Semanis Honey. Malah, ada beberapa buah drama lagi yang masih tidak dapat dipastikan," katanya kepada Astro Gempak.

Lan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single solo pertamanya yang berjudul Berpisah Tanpa Rela, di Warner Music, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram