Pelawak Saiful Apek mengakui kini lebih selesa memberi ceramah di masjid masjid sejak dua tahun lalu.

Menurut Apek, dia sering mengikut rakan baiknya, penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus untuk berkongsi ilmu dan pengalaman hidupnya dengan orang ramai.

"Sejak dua tahun kebelakangan ini, saya sering mengikut ceramah Ustaz Azhar Idrus dan daripada situ saya sering turun ke ceramah-ceramah lain.

"Alhamdulillah, sekarang ini saya sudah menjadi motivator dan sering menerima jemputan menjayakan forum islamik daripada pihak masjid, sekolah dan pusat pengajian tinggi.

"Saya akan berkongsi ilmu tentang kisah pengalaman hidup dalam nada yang santai dan tidak terlalu serius kepada orang ramai.

"Sebagai pelawak saya sedar saya tidak layak untuk bercakap soal agama, sebab itu kedatangan saya hanya untuk memeriahkan masjid agar dapat tarik orang ke sana.

"Bagi saya sekarang bukan masa untuk mengejar populariti lagi kerana saya bersyukur dengan apa yang saya lakukan ini dapat memberi ketenangan pada diri saya," katanya kepda Astro Gempak.

Apek berkata demikian ketika ditemui ketika majlis sidang media Festival Ramadan Putrajaya 2018 di Putrajaya baru-baru ini.

Festival tersebut bakal diadakan pada 17 Mei sehingga 14 Jun dengan penglibatan 30 artis popular yang akan membuka gerai masing-masing antaranya Erra Fazira, Fasha Sandha, Fahrin Ahmad, Ramlah Ram, Ella dan Haiza.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Foto: Instagram