Pelakon popular, Nasir Bilal Khan yang memainkan watak Tukang Buka Panggung menerusi program Bocey & Friends Live berpandangan Bocey mempunyai kejujuran dan keikhlasan untuk bertahan sebagai satu kumpulan lawak.

Jelasnya, persembahan Bocey yang sudah masuk minggu ketujuh malam tadi terus menghiburkan ramai penonton dengan aksi jenaka mereka.

"Saya rasa malam ini paling dahsyat dan seronok. Tak tau kenapa tapi nampak semua penonton di studio gembira dan sangat memberi sokongan," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, sama ada Bocey mahupun kehadiran artis jemputan, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dalam menarik perhatian khalayak untuk bergelak tawa.

"Kadang-kadang Tuhan punya kehendak kita tak tahu macamana, bila Dia bagi itu yang jadi. Insha Allah," katanya.

Secara peribadi, Nasir berpandangan Bocey mempunyai sifat jujur dan ikhlas dalam persembahan mereka memberi keyakinan untuk pergi jauh dalam karier seni sebagai pelawak.

Sama ada Fad, Abam mahupun Achey, Nasir melihat gandingan Bocey umpama satu masakan yang mempunyai ramuan secukupnya seperti garam dan gula sehingga ia enak untuk dimakan.

"Bagi saya, Bocey merangkumi ada lemak, ada manis, ada masam, ada segalanya dan itu mungkin membuahkan kejayaan buat mereka.

"Jangkaan saya, jika mereka terus jujur dan ikhlas, insha Allah Bocey akan terus berjaya," katanya.



Dalam pada itu, Nasir mengakui wataknya dalam program ini memberi cabaran dalam bermonolog.

"Watak saya ini dianggap baru dan memang saya ingin mencuba. Mungkin untuk kali ini saja, pada masa akan datang tak berani.

"Bukan kata tak suka tapi tak berapa nak berani kerana takut buat kesilapan. Di luar buat kesilapan ada 'second take' tapi di dalam program 'live' macam ini, saya takut buat kesilapan
meskipun tak hafal skrip secara keseluruhan," katanya.

Pada penonton, jangan lupa saksikan Bocey & Friends Live yang disiarkan pada setiap Jumaat jam 10 malam di Astro Warna and Warna HD.

Persembahan komedi pentas ini dibawakan oleh CIMB.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak