Kumpulan rock popular, Wings yang mempunyai banyak lagu popular antaranya Sejati, Taman Rashidah Utama dan Lena Diulit Intan, bakal meraikan peminat mereka dalam satu acara yang dianggap istimewa.

Peminat setia kumpulan itu yang lebih dikenali sebagai Sayap-Sayap Wings wujud sejak sedekad lalu yang menjadi kelab peminat rasmi.

Sempena 10 tahun penubuhan kelab itu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada tahun 2008, Wings kali ini akan menghimpunkan peminatnya dari Malaysia, Singapura dan Brunei menerusi acara Nostalgia Ramadan Bersama Kumpulan Gitar Rancak Wings.

Acara tersebut akan diadakan di Grand Ballroom, Aras 6, Hotel Premiera Kuala Lumpur pada 26 Mei ini.

Ini adalah persembahan kali kedua Wings di lokasi yang sama yang dianjurkan Awie Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama MAC Training Centre Sdn Bhd dan Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Pada persembahan kali ini, Wings akan beraksi secara akustik selama 1 jam. Bagi peminat, Wings juga akan solat maghrib berjemaah dengan tetamu dan anak yatim yang dijemput pada hari tersebut.

Menariknya, Wings akan mendendangkan lagu nostalgia mereka dan lagu artis lain dari zaman 70-an, 80-an dan 90-an.

Untuk acara berbuka puasa ini, tetamu dihidangkan dengan menu secara 'stall buffet' dan antara juadah istimewa adalah kambing perap yang dibakar dengan arang, sup tulang rawan berempah dengan roti banggali, nasi ambeng, rendang tok bertawi tradisi sejagat, ayam bakar bermadu dan udang gulai kawah.

Bagi tempahan meja korporat 'VVIP Wings' bernilai RM10,000 dan meja khas Wings, RM5,000.

Harga yang ditawarkan adalah RM180 untuk dewasa manakala kanak-kanak berusia 5 sehingga 12 tahun dikenakan bayaran RM80. Pembelian 'early bird' juga diberikan pada harga istimewa, RM150 sebelum 20 Mei ini.

Teks oleh: Elrafaei Sapi