Anak muda asal Papar, Sabah, Chubb-E berjaya bergelar juara program realiti Ceria Megastar yang berlangsung sebentar tadi.

Membawakan lagu Khazanah Dari Malaya nyanyian asal Ayati Tasrip di konsert akhir Ceria Megastar, Chubb-E atau nama sebenarnya, Muhammad Shahrul Ashlyn Ag Ashrul Affandy yang berusia 19 tahun berjaya membawa pulang hadiah RM20,000 beserta trofi.

Peserta cilik, Hazury berjaya menyandang gelaran naib johan dan membawa pulang hadiah RM12,000 beserta trofi. Hazury menyampaikan lagu Fantasia Bulan Madu, dendangan asal kumpulan Search.

Kumpulan duo Warissa yang dianggotai oleh Erissa dan Wafiy berjaya menduduki tempat ketiga. Membawakan lagu nyanyian asal Meet Uncle Hussein, Laguku Untukmu, Warissa membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 beserta trofi.

Vanessa berpuas hati di tempat keempat dan membawa pulang hadiah RM8,000 dan trofi. Di konsert akhir, Vanessa membawakan lagu Bunga nyanyian asal Ara Johari.

Iqbal yang kurang sihat berjaya merangkul tempat kelima dan membawa pulang hadiah RM5,000 dan trofi. Iqbal membawakan lagu yang pernah dipopularkan oleh Haqiem Rusli, Segalanya.

Juri menentukan markah sebanyak 50 peratus, 30 peratus lagi datangnya daripada undian online manakala 20 peratus markah ditentukan menerusi undian sistem pesanan ringkas (SMS).

Datuk Aznil Nawawi dan Johan bertindak selaku juri tetap manakala Ratu Dangdut Malaysia, Mas Idayu dijemput sebagai juri undangan.

Dihoskan oleh Nabil Ahmad, konsert Ceria Megastar yang bersiaran setiap Jumaat bermula 2 Mac lalu disiarkan di Astro Ceria, Astro Prima, Astro Maya HD dan Astro GO.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Astro Gempak