Kumpulan nasyid In Team sentiasa memantau komen yang ditulis di media sosial setiap kali selepas tamat konsert mingguan Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2) setiap minggu.

Kata In Team, kritikan pedas yang ditujukan kepada mereka saban minggu datang sendiri daripada penyokong setia yang meletakkan ekspektasi tinggi untuk melihat mereka membuat persembahan terbaik.

"Kami sentiasa melihat komen-komen di media sosial tetapi kebanyakan komen pedas daripada penyokong setia yang mahu melihat kami buat yang terbaik.

"Mereka meletakkan ekspektasi yang tinggi dan kami anggap komen itu datang daripada keluarga sendiri.

"Sama seperti teguran seorang ibu atau bapa untuk anak mereka, biar pedih tapi demi kebaikan kita juga," kata In Team.

In Team menjelaskan, komen-komen yang ditulis berkisar isu vokal, penyampaian dan isi persembahan.

"Cuba anda yang mengkritik itu berada di tempat kami. Kami perlu pilih konsep persembahan yang terbaik dalam masa yang singkat dan nak pastikan ia bersesuaian dengan kehendak penonton dan juri.

"Namun, kami terima kritikan itu secara normal. Tak semua persembahan kita akan dipuji, jadi ambil kritikan itu secara membina dan perbaiki kelemahan sendiri," tambah In Team.

Pada konsert suku akhir, In Team yang mempersembahkan lagu Flying Without Wings bersama Lah Ahmad berjaya meletakkan mereka di kedudukan keempat.

Manakala, konsert separuh akhir esok, In Team bakal mempersembahkan lagu Semalam Yang Hangat (nyanyian asal Wings).

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu keenam GGV2 bakal membawa tema Gegar Gema Impian dan 8 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan