Pelakon baru, Adam Lee tidak mengambil peduli dengan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan fotonya dalam aplikasi telefon kegunaan golongan homoseksual.

Pelakon berusia 24 tahun itu mengakui ada rakannya pernah bertanya mengenai penggunaan foto separuh bogel miliknya dalam aplikasi terbabit.

"Saya akui, pernah ada orang yang bertanyakan mengenai hal itu. Jika benar ia memang wujud, saya sendiri mahu tengok.

"Sejujurnya, saya sendiri tak pernah tengok lagi gambar separuh bogel atau foto seksi mana yang digunakan dalam aplikasi terbabit. Apa yang penting, profil dalam aplikasi tersebut bukan milik saya," kata Adam.

Pemilik nama penuh Muhamad Arif Adam Mohamad Fadlee yang pernah membintangi drama rantaian Lara Aishah ini juga enggan membesarkan isu tersebut.

"Saya sendiri sedar, bukan mudah untuk mencari siapa individu tak bertanggungjawab disebalik perkata terbabit.

“Jika benar ada pihak mencuri foto yang saya telah muat naik di laman sosial dan menggunakan ia untuk perkara seperti itu, tiada perkara yang boleh saya buat. Saya cuma ingin menegaskan, profil tersebut bukan milik saya.

"Saya mengaku, sebelum ini saya selalu berkongsi foto yang menampakkan tubuh badan kerana saya sering ke gimnasium untuk bersenam.

"Semenjak sibuk dengan kerjaya seni, saya jarang berkongsi foto seperti itu di laman sosial kerana jarang melakukan aktiviti kecergasan dan susah untuk mencari masa berkunjung ke gimnasium," katanya ketika ditemui di majlis tayangan program Ramadan 2018 anjuran Astro di Wow KL, Jalan Ampang semalam.

Dalam perkembangan terbaru, lakonan Adam bakal menghiasi drama bersiri Klik!Pengantin Musim Salju arahan pengarah Hadith Omar.

Bergandingan dengan teraju utama, Siti Nordiana dan Alif Satar, drama bersiri ini akan mula disiarkan besempena kedatangan Ramadan.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Klik! Pengantin Musim Salju yang disiarkan bermula 14 Mei, setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam di Astro Ria (104), Astro Ria HD (123) dan Astro Ramadan HD (122).

Untuk lebih informasi terkini dan menarik mengenai program istimewa Astro sepanjang Ramadan ini, layari laman web www.meriahbersama.com.my

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Adam