Pelakon Amar Asyraf mengakui dia tidak terlalu memikirkan soal untuk popular sebaliknya fokus untuk kelangsungan hidup dalam industri.

Kata Amar, dia percaya kebolehan dan kualiti kerjanya akan membuktikan keupayaannya sebagai seorang pelakon.

"Saya percaya saya terkenal tapi tak popular. Saya okey dengan kenyataan itu, sebab yang penting orang tahu kerja saya.

"Popular tapi kemudian hilang buat apa?

"Dari drama Setia Hujung Nyawa lagi saya berpegang pada prinsip biar kerja saya yang bercakap," katanya.

Amar juga mengikut teladan pelakon senior yang sentiasa ada dalam industri lakonan tanpa mengira usia.

"Ramai pelakon senior masih kekal sampai sekarang. Populariti bukan ukuran saya.

"Saya baru 23 tahun, bukan 48 tahun. Ada banyak lagi masa untuk belajar berlakon dan berkongsi ilmu kepada orang lain," katanya yang juga menjadi salah seorang tenaga pendidik di sebuah universiti swasta.

Selain itu, Amar meletakkan impian untuk menjadi seorang pengarah pada masa akan datang.

"Ada banyak masa lagi untuk hasilkan sesuatu supaya pihak terbabit nampak karya saya," kata Amar.

Dalam perkembangan lain, Amar kini sedang menjalani penggambaran filem Ratu Kala Jengking di Kota Tinggi, Johor.

Filem yang turut dibintangi oleh Nadia Brian, Datuk Fizz Fairuz, Fauziah Nawi, Putra Amaris, Aprena Manrose dan Mas Khan itu diterbitkan oleh A.Aida Productions Sdn. Bhd.

Teks oleh: Amri Hassan