Bintang Baru MeleTOP AME2018, Farah Nabilah tidak mahu menjayakan adegan keterlaluan dalam setiap karya yang dilakonkannya.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan teman gandingan mengenai pantang larang masing-masing sebelum memasuki set penggambaran.

"Dari dulu, saya memang menjaga batas apabila bekerja dengan pelakon gandingan. Malah ketika berlakon dengan Zul Ariffin dalam Titian Cinta sebelum ini, saya memberitahu enggan melakukan babak berpelukan.

"Bagi saya, cukup sekadar bermain 'eye contact' dan menggunakan teknik kamera untuk menggambarkan sesuatu keadaan. Saya tidak mahu terlalu banyak babak bersentuhan kerana bimbang penonton 'menyampah'," katanya.

Tambah Farah, dia mengambil keputusan tersebut kerana mahu menjaga hati keluarga.

"Saya masih solo sejak mula menceburi bidang seni. Saya belum terfikir untuk mencintai sesiapa kerana bimbang tidak mempunyai masa untuk dirinya.

"Sebenarnya pilihan tidak melakonkan aksi keterlaluan ini kerana saya perlu menjaga hati orang tua saya. Mereka sudah berpesan kalau saya nak jadi pelakon, saya perlu menjaga batas pergaulan dan jangan malukan keluarga," katanya.

Sumber: Harian Metro
Susunan: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Farah