Pelakon Sharifah Amani mendedahkan pernah ditawarkan RM1 juta untuk menjadi duta produk pemutih kulit, namun terpaksa menolak kerana tidak mahu mementingkan diri.

Menerusi kenyataan di Twitter, dia mengakui teruja dengan ganjaran lumayan itu tetapi terpaksa melepaskannya selepas mendapat nasihat ibunya, Fatimah Abu Bakar, selain atas dasar tanggungjawab terhadap masyarakat.

Pelakon itu juga bersyukur kerana ibunya sentiasa membuka minda, dan menasihatinya supaya tidak mudah gelap mata apabila menerima sesuatu tawaran.

Katanya lagi, martabat lagi lebih penting daripada wang dan mungkin kerana atas sebab itu dia tidak kaya sampai sekarang.

Posting yang dimuat naik itu telah dikongsi oleh lebih 5,000 pengguna di Twitter dan mendapat perhatian netizen yang memuji integriti Sharifah Amani.

Sementara itu, Dr Amalina Bakri turut memuji tindakan Sharifah Amani dan berharap lebih ramai selebriti lebih bertanggungjawab dalam membuat keputusan untuk menjadi duta sesuatu produk.

Dr Amalina menggalakkan lebih ramai selebriti untuk mempromosikan gaya hidup sihat dengan pemilihan produk yang baik untuk masyarakat.

Penyanyi Yuna turut menyuarakan pandangan dan berkongsi pengalamannya yang mendapat tawaran sama tetapi terpaksa menolaknya selepas mendapatkan nasihat ibu.

Yuna mengakui walaupun tawaran ganjaran itu amat menarik, dia menegaskan wang bukan segala-galanya.

Sumber: Astro Awani
Susunan: Kamaruddin Razal