Calon Bebas DUN N19, Azwan Ali, mengakui akaun media sosial Instagram (IG) miliknya telah digodam sekali lagi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Azwan Ali, atau lebih popular dengan nama Diva AA menerusi kiriman Whatsapp kepada Astro AWANI.

Menurut Azwan Ali perkara itu mematahkan semangat pada dirinya untuk menumpukan perhatian terhadap usahanya mendekati rakyat yang menjadi agenda utama dalam kempennya.

"Orang cakap saya bertanding sebab ada agenda peribadi, sebab perseteruan dengan Azmin. Itu semua cakap-cakap haters dan saya tak mahu layan kerana fokus saya sekarang adalah berkempen dan mendekati masyarakat di Bukit Antarabangsa.

"Kalau kalah dan saya tak boleh jadi YB, siapa tahu selepas ini saya jadi senator, seperti Allahyarham Tan Sri Jins Samsudin?," katanya.

Azwan juga sempat menjawab kenyataan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dia dibayar untuk bertanding.

"Kalau dia tak sedar saya siapa, biar rakyat sedar. Saya lulusan undang-undang, suka hati sayalah nak bertanding. Saya tak guna duit dia pun!.

"Saya pilih untuk masak rendang sebagai cara berkempen kerana ceramah politik bukan cara saya. Lagipun, rendang masakan yang disukai semua rakyat Malaysia" jelasnya.

PRU-14 kali ini menyaksikan Azwan menentang abangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR, Ahmad Kamarudin (Parti Rakyat Malaysia), Salwa Yunus (Barisan Nasional) dan Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS).

Sumber: Astro Awani