Penerbit filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda, Datuk A. Aida menjelaskan mengenai poster filemnya yang dikatakan tidak menarik.

Filem terbabit bakal diarahkan oleh Bade Hj Azmi dan dibintangi oleh Nadia Brian, Amar Asyraf, Mas Khan, Putra Amaris, Fauziah Nawi, Eyra Hazali, Dayang Areeda, Raja Azmi, Aprena Manrose dan ramai lagi.

"Poster yang dikatakan tidak menarik itu hanyalah poster sementara yang diletakkan di atas skrip yang sudah siap. Poster tersebut juga digunakan untuk 'working title' serta jemputan media sahaja.

"Poster sebenar filem itu bakal menggunakan rekaan KRU Studios dan Redzstone. Saya sangat serius dalam menerbitkan filem ini, sudah tentu semua perkara saya ambil berat, termasuklah poster filem.

"Saya akan pastikan semuanya berada dalam keadaan baik untuk dipersembahkan kepada penonton dan pihak media. Ini merupakan filem pertama saya, sudah pastinya saya akan menjayakan projek ini dengan sepenuh hati.

"Untuk memeriahkan lagi keadaan, saya juga akan mengadakan pertandingan mencipta poster menerusi laman Facebook. Pemenangnya pula akan diberikan hadiah bernilai ribuan ringgit," kata Aida.

Pemilik rumah produksi A. Aida Production itu menyifatkan filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang bakal memulakan penggambaran esok di Kota Tinggi, Johor ini sebagai sebuah karya yang baik untuk diangkat ke layar perak.

"Saya sudah bergelumang dalam dunia penerbitan drama dan telefilem semenjak tahun 2003. Ramai orang bertanya, bilakah saya akan muncul dengan filem terbitan sendiri?

"Selama ini, saya belum mendapat ilham untuk menebitkan filem. Apabila idea Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda muncul, saya terus menulis skrip tanpa henti dan apabila siap, saya yakin filem ini bakal menarik minat penonton," katanya lagi.

Filem yang bakal menggunakan teknologi CGI (imej janaan komputer) sebanyak 10 peratus ini menelan belanja sebanyak RM3 juta.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Astro Gempak