Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) masih meneruskan kempen #12jamshooting sebagai sokongan pada kru filem agar tidak lagi menjadi mangsa bekerja selama 24 jam.

Naib Presidennya, Syed Zulkifli Syed Masir berkata kru filem dalam industri perfileman tempatan di negara ini tidak tertakluk pada akta pekerjaan atau buruh mahupun mana-mana undang-undang kerana ia berdasarkan perjanjian antara pekerja dengan produser.

"Macam orang buat kerja ubah suai rumah, ia tidak tertakluk pada mana-mana undang-undang pekerjaan tapi hanya perjanjian saja," katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, perjanjian antara produser dengan pekerja tidak menyatakan jumlah kerja sebaliknya produser boleh meminta kru filemnya itu untuk berkerja sehingga 24 jam.

"Kerja selama 24 jam sudah menyalahi fitrah manusia. Katakan kru filem itu sudah bekerja sehingga 18 jam dan kemudian perlu bersambung pula kerja penggambaran pada keesokkan harinya," katanya.

Sebagai jalan penyelesaian, FDAM menggesa pihak produksi meletakkan waktu maksima untuk kru filem bekerja dalam perjanjian yang dibuat antara mereka.

"Apabila gesaan ini mahu dilaksanakan, ramai produser tidak bersetuju sebab ini akan melambatkan kerja mereka dan menambah kos produksi," katanya.

Katanya, wujud senario di mana produser tempatan boleh menetapkan tempoh kerja 8 jam apabila bekerjasama dengan pelakon dan kru filem dari luar negara.

"Maksudnya kita melakukan ketidakadilan pada semua orang. Kita cuma melihat pada kepentingan sendiri," katanya.

Ujarnya, kempen ini masih diteruskan sebagai gesaan pada produksi untuk meletakkan masa bekerja maksimum 12 jam bergantung pada budi bicara antara produser dengan kru filem.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @fdam_offical & Mawi