Peserta Cover Star ERA, Muhammad Qaidzul Zainal Abidin (Ajoi) yang berada di bawah bimbingan Syamel telah dinobatkan sebagai juara pertandingan Cover Star ERA yang diadakan di Astro, Bukit Jalil hari ini.

Sebagai hadiah kemenangan, Ajoi yang berusia 20 tahun itu berjaya meraih peluang menghasilkan rakaman single di bawah syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment.

Tempat kedua bagi pertandingan Cover Star ERA telah dimenangi oleh Mohd Adzuan Mazlan (Megat) di bawah bimbingan Sufian Suhaimi, manakala Mohamad Rafie Abdul Wahab (Rafie) yang dibimbing oleh Siti Nordiana, mendapat tempat ketiga dan masing-masih telah membawa pulang sebuah trofi.

"Saya bersyukur atas tunjuk ajar yang diberikan Syamel selama pertandingan ini diadakan. Ternyata hasilnya cukup mengagumkan.

"Kemenangan ini membuatkan saya melangkah setapak lebih dekat dalam mengejar impian saya sebagai seorang penyanyi profesional. Saya turut berterima kasih kepada pihak ERA atas peluang yang diberikan," kata Ajoi yang berasal dari Klang.

Sebelum ini, Syamel juga dilahirkan menerusi pertandingan nyanyian anjuran stesen radio ERA dan bergelar juara SuERA pada tahun 2015.

"Cover Star ERA telah berjaya menarik lebih 10,000 penyertaan. Kemudian, kami memilih sembilan yang terbaik untuk melaksanakan tugasan yang diberikan oleh Syamel, Nana dan Sufian. Hanya tiga finalis terbaik telah berentap di pentas akhir untuk gelaran Juara Cover Star ERA.

“Sememangnya, Ajoi layak digelar sebagai juara kerana beliau telah mempertaruhkan ciri-ciri yang menepati citarasa juri, selain gabungan suaranya yang begitu mantap," kata Dhan Andreas selaku Pengurus Kandungan ERA.

Selain ‘Bro’ dan ‘Sis’ Cover Star ERA, Syamel, Sufian dan Nana, pertandingan ini turut diadili oleh juri utama Ernie Zakri dan Mak Jemah selaku juri istimewa.

Keputusan pemilihan juara Cover Star ERA adalah berdasarkan kreativiti, originaliti dan pembawakan lagu peserta-peserta, selain sambutan yang diberikan oleh peminat-peminat ERA.

Pentas akhir Cover Star ERA telah dimeriahkan lagi oleh penyampai radio ERA Johan, Hanif dan Ray.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram ERA