Penyanyi Awi Rafael mendedahkan dirinya sudah hampir pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan masalah kulit serius sekitar dua tahun lalu.

Susulan rawatan itu, Awi kini dinasihatkan untuk mengamalkan diet phileo dan mengelakkan makanan berkanji dan bergluten.

"Alhamdulillah, tahun ini semuanya positif daripada segi kerjaya, rezeki dan kesihatan.

"Saya pernah melalui ujian daripada segi kesihatan beberapa tahun lalu dan saya anggap itu cara Allah dan saya.

"Sekarang saya sudah baik dan mahu lakukan sesuatu yang boleh menggembirakan orang lain di sekeliling saya.

"Buat masa sekarang saya dinasihatkan untuk mengamalkan diet phileo (hanya memakan daging) seperti orang zaman dahulukala, mengelakkan makanan proses, berkanji dan mengandungi gluten," katanya.

Sebelum ini, Awi mengesahkan dia bebas daripada penyakit kanser kulit peringkat awal namun mengalami masalah kulit kronik berpunca dari alergi dan ekzema.

Awi yang kini sibuk dengan program realiti Islamik Gema Gegar Vaganza (GGV2) bakal melancarkan album terbaharu tidak lama lagi.

Sementara itu, pada konsert kelima GGV2, Awi bakal mempersembahkan lagu Kaulah Segalanya bergandingan dengan Nora Ariffin.

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu kelima GGV2 bakal membawa tema Bergabung Bergema dan 8 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan