Pelakon Nazim Othman memilih laman sosial Instagram (IG) untuk mengumumkan tarikh perkahwinannya bersama aktres Bella Dally.

Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 32, berkata, inisiatif tersebut diambil kerana mahu semua pihak mendapat informasi yang tepat dan adil terutama kepada peminatnya.

“Setakat ini persiapan perkahwinan kami berjalan lancar dan Insha-Allah saya akan kongsikan semuanya dalam masa terdekat.

“Kami dah ada tarikh dan lokasi, jadi saya akan terangkan segala butiran mengenai perkahwinan melalui IG kerana rasanya itu lebih adil untuk semua pihak.

“Saya pilih medium tersebut kerana zaman sekarang kita tak boleh nafikan kekuatan sosial media dan bagi saya untuk kehidupan peribadi saya lebih selesa umumkan sendiri melalui IG,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Lara Aishah di Restoran Ruyi-Lyn, Bangsar pada petang Selasa.

Ditanya mengapa dia begitu berahsia mengenai perkahwinan, Nazim menjelaskan dia mahu segala proses menuju hari bahagianya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Sebenarnya saya lebih selesa memilih untuk tidak terlalu menghebahkan tentang majlis tersebut.

“Bagi saya perkahwinan itu adalah satu benda yang sangat peribadi buat saya.

"Saya mahu biar segala urusan untuk majlis tersebut selesai, kemudian barulah saya akan kongsikan dengan peminat dan juga media.

“Sebenarnya kalau boleh saya juga mahu rahsiakan mengenai hal pertunangan dengan Bella dan kami berdua telah bersetuju.

“Kami ambil keputusan untuk rahsiakan hal tersebut bukan kerana takut populariti jatuh tetapi lebih kepada kehidupan privasi.

“Setiap orang ada cara masing-masing dan ini adalah cara saya dan Bella. Kalau diikutkan saya dan dia tidak mahu perkahwinan kami terlalu dihebahkan seperti selebriti lain,” ujarnya.

Tambah Nazim lagi, perkahwinan mereka akan berlangsung secara sederhana.

“Majlis kami akan berlangsung secara sedehana dan saya juga lebih mengutamakan keluarga, saudara mara dan juga teman rapat untuk hadir ke majlis perkahwinan nanti.

“Saya juga ingin mengundang pihak media yang sentiasa ada bersama ketika saya susah dan senang,” katanya.

Nazim dan Bella, 26, telah mengikat tali pertunangan pada 14 November tahun lalu.

Berita itu juga dikongsi dikongsi oleh Nazim menerusi IG.