Selebriti popular, Neelofa mencatat satu lagi pencapaian dalam karier seninya apabila wajahnya kini dijadikan watak dalam kartun animasi popular, Omar & Hana.

Pengacara program Meletop itu memberitahu dalam watak kartun animasinya itu, dia turut mempromosikan produk tudungnya, Naelofar Hijab dalam program bersiri itu.

Menariknya, buat pertama kali dia memperkenalkan produk pakaian kanak-kanak jenamanya sendiri.

"Ini merupakan satu peluang yang bagus untuk mewujudkan pakaian kanak-kanak dan saya juga berkolaborasi menerusi dua lagu dan dua video dalam program kartun animasi ini," katanya ketika majlis Pelancaran Barangan Omar & Hana di Putrajaya, hari ini.



Omar & Hana merupakan animasi Islamik Prasekolah Nombor 1 di Malaysia terbitan Digital Durian bersama Astro kali ini menjalinkan kerjasama dengan beberapa produk termasuk Siti Khadijah, Ana Edar, Karangkraf, Inteam Records, My Baby Can Read, Toyworld dan Pearl Sport.

Menerusi kerjasama tersebut, satu Fiesta Omar & Hana diadakan di Alamanda, Putrajaya bermula hari ini sehingga 29 April ini dari 10 pagi sehingga 10 malam.

Siri Kartun tersebut juga mencatatkan 395,000 pelayar dan 197 juta tontonan di platform, YouTube serta 9 juta penonton unik menerusi saluran Astro Ceria, Astro Oasis, Astro Prima dan Astro Maya HD.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @neelofa & omardanhana