Pengacara Datuk Aznil Nawawi mengakui tidak ralat untuk memperlahankan kerjaya seninya bagi meneruskan misi amal dalam Yayasan Persona.

Menurut Aznil atau lebih mesra dipanggil Pak Nil berkata, dia tidak kesal dengan keputusan yang dilakukan itu memandangkan dirinya sudah merangkul pelbagai anugerah sejak melibatkan diri dalam bidang seni.

“Mungkin dulu penglibatan saya dalam industri adalah untuk memenangi anugerah dan mengumpul kekayaan sebanyak yang mungkin.

“Sekarang merupakan masa yang sesuai untuk saya memberi pula kepada orang ramai dengan melakukan misi amal.

“Saya sudah tiada apa lagi untuk dikejar dan saya tidak akan menyesal dengan keputusan yang dilakukan ini kerana ia merupakan aktiviti yang baik.

“Insya-Allah saya akan meneruskan lagi aktiviti ini supaya dengan ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya pada kanak-kanak dalam mempunyai keyakinan diri untuk bersuara,” katanya kepada Astro Gempak.

Pak Nil berkata demikian ketika ditemui pada misi kedua Yayasan Persona di Restoran Sate Kajang, pada Khamis.

Pada misi kedua ini Pak Nil bersama Yayasan Persona telah membawa seramai 150 orang pelajar daripada Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih menaiki MRT dan menjamu selera di Restoran Sate Kajang,

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi