Pelakon Nazim Othman menegaskan rumah tangganya dengan pelakon Bella Dally masih dalam keadaan harmoni.

Jelas Nazim, 34, walaupun jarang memuat naik gambar bersama, itu tidak membuktikan hubungan mereka bermasalah.

"Daripada segi kehidupan peribadi, tiada kekusutan yang berlaku. Tenang-tenang sahaja.

"Selagi boleh senyum itu maknanya okeylah.

"Saya sudah jarang berkongsi hal peribadi, kalau ada perkembangan menarik lain saya akan beritahu," katanya kepada Astro Gempak.

Nazim yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu Hush Puppies The Decades Collection di One Utama, Petaling Jaya semalam menambah dia kini lebih menjaga privasi keluarganya.

"Beberapa perkara yang berlaku sebelum ini menjadikan saya lebih berhati-hati dan matang.

"Bukan hanya gambar bersama keluarga atau isteri, gambar sendiri pun saya sudah jarang kongsikan kepada umum.

"Perkara yang saya pelajari sebelum ini, apabila terlalu mendedahkan kisah peribadi di media sosial, ia akan memberikan kesan buruk kepada kami," katanya.

Nazim dan Bella berkahwin pada 10 September 2016.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @nazimothman