Filem Hijabsta Ballet arahan Syed Zul Tojo yang pernah ditayangkan pada tahun lalu bakal mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih untuk tayangan di beberapa negara di seluruh dunia.

Jelasnya, satu pengedar dari Los Angeles menyatakan minat untuk membawa filem terbitan Explosive Magic Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) itu untuk diedarkan ke pasaran antarabangsa.

"Mereka mengetahui filem saya menerusi Internet lalu menghubungi saya untuk mengambil filem ini. Sekarang ini kami sudah sain perjanjian, mereka mahukan salinan semua kontrak dan juga ada insurans yang melindungi filem ini dari aspek hak cipta dan sebagainya," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, pengedar tersebut akan memegang hak cipta pengedaran filem ini untuk tempoh 15 tahun yang turut diberikan pada negara yang menayangkan filem tersebut.

"Mereka (pengedar) memberikan satu jumlah untuk mendapatkan semula pulangan dalam tempoh 6 tahun pertama jika tidak, kontrak itu boleh dibatalkan," katanya.

Menariknya, pihak produser tidak perlu membayar satu sen kepada pengedar itu kerana apa jua kos yang dikenakan seperti 'dubbing', mereka akan mengambil 35 peratus daripada pulangan yang diterima.

Syed Zul percaya filemnya kali ini berpotensi besar untuk ditonton di seluruh dunia menerusi strategi pemasaran syarikat pengedar antarabangsa itu.

"Mereka tengok trailer saya di Internet dan kemudian minta saya untuk tengok filem itu keseluruhan sebelum berminat untuk mengambilnya.

"Saya boleh kata sebab struktur, penonton boleh faham cerita itu bila tonton. Saya nampak jika nak jual filem itu, banyak cara sebenarnya boleh dilakukan sepertimana dilakukan syarikat pengedar ini.

"Tidak kira ia dijual di 'supermarket' atau televisyen asalkan filem ini tidak dijual di Malaysia, Singapura dan Brunei," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - Syed Zulkifli